Friday, January 16, 2009

Selendang Merah

Selendang merah kebanyakkannya lebih dikenali oleh golongan tua masa kini berikutan dengan pergerakkan pasukan atau pun Tentera Selendang Merah ini amat aktif dan terkenal ketika Tanah Melayu dikuasai komunis. Pengasas dan pemimpin yang dihormati Selendang Merah adalah Kiyai Panglima Salleh di mana Pergerakan Selendang Merah mula berputik di selatan tanah air, Batu Pahat ketika rakyat Tanah Melayu bersatu menentang komunis.
Pergerakan Tentera Selendang Merah mula terkenal dan semakin tersebar diseluruh tanah air di kalangan orang Melayu selari dengan kebangkitan orang Melayu dalam menentang komunis. Berbekalkan pegangan Tentera Selendang Merah iaitu amalan Ayat Empat dan semangat juang yang kental, nama Tentera Selendang Merah digeruni pihak musuh dan dihormati rakyat tempatan.
Dewasa ini, nama Selendang Merah masih lagi kedengaran dan kesinambungan serta warisan Selendang Merah tetap diteruskan di kalangan orang Melayu. Amalan Ayat Empat yang diwarisi secara perguruan di dalam PERTUBUHAN SENI SILAT KUNTAU SELENDANG MERAH dijaga dan diteruskan hingga ke hari ini selaras dengan semangat yang kuat serta penghayatan yang tinggi seperti mana yang telah diwujudkan oleh Kiyai Panglima Salleh dan Tentera Selendang Merah yang terdahulu.

Sejarah



PERTUBUHAN SENI SILAT KUNTAU SELENDANG MERAH telah ditubuhkan oleh GURU UTAMA pertubuhan, Datuk Hj. Baharom bin Kamari dan telah berdaftar secara sahnya pada tahun 2000. Kuntau bermaksud keras atau lebih dikenali sebagai berlaga (pok) dan kuntau boleh diertikan sebagai usaha tanpa henti. Sejarah gerakan kuntau ini dipercayai diasaskan di Tanah Jawa Timur di sebuah daerah yang dikenali sebagai PONOROGO dalam sekitar kurun ke-14. Kuntau adalah sejenis ilmu pertempuran Melayu tua di mana kesemua gerakan jurus dan buah pukulan kuntau bersifat norma pergerakan dan perlakuan manusia sekaligus tiada konsep bunga tari mahupun bunga sembah di dalam kuntau.
Gerakan kuntau dipercayai bermula ketika zaman penjajahan Belanda ke atas Tanah Jawa di mana kebanyakan ilmu kuntau diasaskan oleh golongan petani yang bangkit menentang kezaliman Belanda ketika itu. Ilmu tempur kuntau adalah hasil daripada petua dan teknik perang yang telah ditemui serta diamalkan oleh para pejuang ketika itu. Seni silat kuntau ini dilihat dan dinilai dari segi kemantapan gerakan jurus dan ketangkasan serta kebijaksanaan dalam berlaga.
Silat kuntau selendang merah mempunyai 9 jurus pukulan yang wajib dipelajari di mana kesemua jurus ini sememangnya fokus kepada teknik serangan dan belaan yang amat mudah didalami serta dikuasai oleh pesilat. Pada peringkat asalnya, gerakan kuntau ini hanya mengambil masa 3 bulan untuk dikuasai tetapi sesuatu itu berlaku dan berubah mengikut zaman lantas sistem pembelajaran ilmu kuntau ini disesuaikan mengikut masa. Silat kuntau mula bertapak di Tanah Melayu apabila sejumlah orang-orang kuntau berhijrah dan menetap di daerah Batu Pahat, Johor serta semakin tersebar di pelusuk Tanah Melayu hingga kini.